Monday, December 15, 2008

Keunikan: Warisan Alam & Insan

Menurut Ana Faqir, beliau mengambil masa 13 tahun untuk membuat kajian dan menulis buku Menyingkap Misteri - PULAU BESAR. Pulau Besar terletak kira-kira 5 km dari persisiran pantai Kampung Umbai, Melaka. Ia dikunjungi ramai kerana daya tarikan utama ialah unsur-unsur ghaib berbau kekeramatan yang berkait erat dengan kewalian serta kehidupan makhluk halus.

Sebuah pemeran menyingkap Sejarah & Misteri Pulau Besar - Melaka sedang diadakan di Bastion House (sebelah Kota A'Famosa, Bandar Hilir, Jalan Kota).

Antara aktiviti yang dijalankan:
* Perasmian Pameran & Pelancaran Buku oleh Ustaz Ana Fakir
* Pengkisahan Pulau Besar - Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail (R.A.)
* Pertandingan Sayembara Puisi Sufi
* Khidmat Perundingan Mengenal Diri
* Menjejaki Sejarah dan Misteri Pulau Besar (tiga lawatan berpandu ke Batu Belah, Tasik Biawak, Batu Tengkorak, Perigi, Kaki Pulau, Tapak Kaki Sultan Al-Arifin, Makam Nisan Satu, Kulliyah dan Qiamullail & Meditasi di Gua Yunus dll)


Kompleks Sejarah Kempas

Batu Megalit atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘batu hidup’ (living stone). Dipercayai, batu megalit telah wujud sejak abad ke 2 dan ke 3. Lihat bentuknya yang 'sama' iaitu tegak dan menirus ke atas.

Ia sebahagian daya tarikan di Kompleks Sejarah Kempas yang terletak tidak jauh dari Sg.Kempas, sebuah pelabuhan zaman dulu di mana ramai pembesar dan orang kenamaan pernah menggunakannya sebagai laluan ke lautan atau tempat-tempat sepanjang sungai. Pengkalan Kempas terletak di antara Port Dickson dan Melaka.

Kompleks ini menempatkan Makam Syeikh Ahmad Majnun dan Batu Megalit, Pengkalan Kempas. Syeikh Ahmad Majnun merupakan seorang pendakwah menyebarkan syiar Islam di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Semasa dalam perjalanan, beliau meninggal dunia dan dimakamkan di sini.

Makam Syeikh Ahmad Majnun dianggap salah sebuah makam Islam yang tertua di Malaysia. Ini berdasarkan inskripsi batu bersurat yang terukir tahun 1467-1468 dipercayai tarikh Syeikh Ahmad Majnun meninggal dunia. Beliau dianggap oleh pengikutnya sebagai seorang Wali.

Menurut penjaga tempat itu, beberapa orang yang berkunjung ke situ mengatakan bahawa mereka adalah keturunan daripada Syeikh Ahmad Majnun. terdapat bunga rampai yang masih hijau dengan bunga-bungaan di atas makam. Tempat ini sangat sunyi dan tenteram kerana terletak betul-betul di dalam kawasan perkampungan.


Wednesday, October 29, 2008

Masjid Sultan Abu Bakar



















Masjid Sultan Abu Bakar terletak di Jalan Skudai, Johor Bahru merupakan masjid negeri. Ia dibina di antara 1892 hingga 1900. Ketika itu Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Senibina masjid berdasarkan ciri-ciri keindahan Moorish dengan beberapa aspek pembinaan berpengaruh Melayu.

Almarhum Paduka Sri Sultan Sir Abu Bakar ibn Almarhum Dato Temenggong Sri Maharaja Ibrahim (3 Feb 1833-4 Jun 1895) adalah sultan pertama bagi Johor moden. Baginda juga dikenali sebagai 'Bapa Pemodenan Johor'. Mula memerintah pada 1862, baginda dianugerahkan gelaran Maharaja pada 1868 dan Sultan pada 1886.

Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Feb 1833 di Teluk Belanga, Singapura. Baginda adalah keturunan Temenggong Daeng Ibrahim dan Sultan Abdul Jalil Shah IV, berbangsa Bugis. Sejak kecil, baginda didedahkan dengan cara pemerintahan negara Barat. Baginda seringkali berkunjung ke Eropah (terutama England), untuk mempelajari cara pemerintahan yg terbaik. Sejajar dengan itu, baginda mewujudkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yg menjadikan Johor negeri pertama di Malaysia menggunakan sistem constitutional monarchy.

Saturday, July 5, 2008

Jalan Penarikan


JEMPOL 4 Julai - Jalan Penarikan mungkin antara lokasi pelancongan bersejarah yang tidak terkenal jika hendak dibandingkan dengan mana-mana tempat sejarah yang lain di negara ini. Disebabkan kedudukannya jauh di pedalaman daerah ini, tidak ramai menyedari bahawa Jalan Penarikan merupakan laluan utama pedagang ketika zaman Kerajaan Langkasuka.

Kerajaan tersebut yang berkembang pada abad pertama masihi mempunyai kaitan rapat dengan Laluan Sutera yang merentasi pantai barat Semenanjung ke pantai timur satu ketika dahulu. Pengarah Muzium Negeri, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, Jalan Penarikan merupakan laluan darat tertua yang diketahui di Semenanjung dan sebahagiannya terletak di antara Sungai Jempol dan Sungai Serting.

Beliau menyifatkan kawasan yang dikenali sebagai Londar Siam ini merupakan khazanah sejarah dan warisan bangsa yang perlu dipelihara supaya ia tidak luput dek perkembangan zaman.
''Sejarah mengenai Jalan Penarikan ini tidak dapat diketahui secara tepat memandangkan tiada catatan khusus mengenainya.

''Bagaimanapun jalan ini mula digunakan pedagang dari kerajaan pantai timur Sumatera dan pantai barat Semenanjung untuk ke pantai timur negara ini. Ia juga lokasi terpenting sebagai jalan pergerakan ketenteraan dan pengembangan agama Buddha pada zaman kerajaan Langkasuka dan kerajaan Srivijaya pada abad keenam hingga ke-13 Masihi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan, pada abad ke-13 dan ke-14, pedagang yang mahu ke Jalan Penarikan perlu mudik ke Sungai Muar (jika dari pantai barat), kemudian Sungai Jempol hingga ke pangkalan di Kampung Bukit Laka, Bahau. Dari pangkalan berkenaan, perahu atau jong iaitu kapal besar akan ditarik melintasi darat ke pangkalan yang terletak di Sungai Serting.

''Dari situ, jong ini akan menghilir Sungai Serting untuk masuk ke Sungai Bera dan akhir sekali ke Sungai Pahang untuk sampai ke kuala iaitu di bandar Pekan, Pahang ketika ini," ujarnya.
Kawasan ini juga pernah dijadikan sebagai laluan pemerintah kerajaan Melaka terakhir Sultan Mahmud Shah untuk berundur ke Pahang setelah diserang Portugis.

Katanya, terdapat penemuan menakjubkan di kawasan itu apabila tapak surau dan bekas kubur lama ditemui di beberapa tempat sekali gus menjadi bukti kedatangan pedagang di sepanjang jalan tersebut. ''Kita juga menemui beberapa bukti kedatangan pedagang ke sini berdasarkan penemuan seperti tapak surau dan bekas makam yang batu nisannya mempunyai ciri dan pengaruh Sumatera di beberapa buah tempat di sekitar kawasan ini.

''Kita tidak menemui artifak namun beberapa batu yang dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengalas tiang pelantar surau, menyokong fakta yang tapak berkenaan merupakan bekas surau yang dibina sekitar tahun 1700 Masihi," ujarnya. Menurut Drs. Shamsuddin, Jalan Penarikan mula tidak dijalankan apabila penjajah Inggeris membina landasan kereta api menghubungkan Bahau dengan Kuala Lipis dan beberapa kawasan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Monday, June 9, 2008

Pokok Melaka

Pokok Melaka di Tasik Pawa Janggi (Beting Beras Basah) di Bagan Datoh, Teluk Intan, Perak. Pokok ini sangat ganjil kerana ia satu-satunya pokok yang boleh hidup selama berpuluh-puluh tahun di dalam air. Jaraknya dengan pantai adalah 200 meter.

Sultan Muzaffar Shah, putera Sultan Mahmud Shah dengan Tun Kecil anak Tun Bendahara mula-mula mendarat di Beting Beras Basah ketika dilantik sebagai Sultan Pertama di negeri Perak (1528-1549).

Ketika air surut. Kelihatan akar-akar pokok. Ia tidak dapat dihampiri kerana tanah berselut yang sangat lembut sehinggakan sesiapa yang cuba berjalan ke perdu pokok akan terbenam.

Keadaan pokok ketika air pasang.

Sunday, April 20, 2008

Dari Makam ke Makam

Makam Sultan Hussein Shah (Tengku Long) di Tengkera. Baginda merupakan Sultan Johor ke-17, memerintah dari 1819-1835. Oleh kerana baginda berada di Pahang ketika kemangkatan ayahanda pada 1812, adinda baginda Tengku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Sultan. Namun begitu atas percaturan Stamford Raffles, Sultan Hussein (ketika itu tinggal di Riau) menjadi Sultan. Temenggung juga bersetuju dengan perlantikan tersebut. Sultan Hussein Shah membina Istana Kampong Glam pada 1820 (kini Malay Heritage Centre, Singapura).

Makam Sultan Ali Iskandar Shah di Umbai, Melaka. Baginda adalah anakanda Sultan Hussein Shah dan memerintah Johor dari 1835-1877. Pada tahun 1855, baginda menandatangani treaty dengan British untuk menyerahkan pemerintahan (kecuali daerah Kesang) kepada Temenggung Daeng Ibrahim. Setelah kemangkatan Sultan Ali pada 1877, putera Temenggung dilantik menjadi Sultan Johor (Sultan Abu Bakar). Portal rasmi Kerabat Sultan Hussein ada di sini.

Makam Tun Teja Ratna Menggala di Kg.Simpang Pantai, Merlimau, Melaka. Baginda yg merupakan anak Sri Amar DiRaja Pahang adalah isteri ketiga Sultan Mahmud Shah (yg merupakan Sultan Melaka ketika ia jatuh ke tangan Portugis pada 1511). Semasa rombongan Sultan berundur, Tun Teja jatuh gering dan mangkat. Makamnya di tengah-tengah kawasan bendang dan laluan ke situ dipagari oleh dua deretan pepohon yg merimbun.

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-88) di Pagoh. Baginda merupakan Sultan Melaka yg ke-7 dan menaiki takhta selepas kemangkatan ayahanda, Sultan Mansur Shah. Baginda mementingkan keamanan dan biasa menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda kota Melaka pada waktu malam. Akibatnya, Melaka menjadi negeri yg selamat untuk berdagang. Bendahara ketika ini ialah Tun Perak. Kawasan makam yg lama ini terletak di dalam kampung yg sunyi dipenuhi pokok-pokok yg besar dan redup.

Wednesday, March 19, 2008

Sepetang di Selat Melaka

Penghujung jeti di Umbai. Ukiran tepian jeti yg halus berseni seolah-olah memberi implikasi senibina sebuah istana zaman Kesultanan Melayu Melaka yg begitu indah, amat mempesonakan, memercikkan keemasan sang mentari yg kian mengundurkan diri di ufuk barat. Saban petang mungkin Baginda Sultan menikmati keindahan maya dari puncak istana sambil memeterai janji suci untuk sehidup semati bersama Permaisuri yg dikasihi...walaupun mungkin tumpuan Baginda terpaksa dibahagi sama-rata antara pak menteri dan negeri.

Mungkin inilah jua pemandangan mentari terbenam yg dilihat sama oleh Alfonso de Albuquerque tatkala berlabuh di luar Melaka pada 1511. Meskipun 497 tahun telah berlalu, langit Melaka bermandi cahaya senja yg sama. Air lautnya berkejaran lemah, berlengguk dlm deburan santai, bernada sayu ibarat tangisan ribuan pahlawan Melayu yg tenggelam ke dasarnya demi mempertahankan tanah air tercinta. Maka kita yg memerhati pun kian karam dlm keindahan ciptaan Ilahi...

Monday, March 17, 2008

Pembinaan Middleburg Bastion

Bulatan merah adalah kedudukan Middleburg Bastion yg terletak berdekatan kuala Sungai Melaka.

Pada awalnya, tembok Kota Melaka dibina oleh kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mengelilingi Istana Raja. Ia dibina daripada tanah dan diperkuat dengan batang kelapa, batang nibung dan pagar kayu. Manakala kota batu didirikan oleh Portugis (1512) mengelilingi Bukit St.Paul dan siap pada 1548. Ia diperkukuhkan selepas serangan Belanda pada 1605-06.

Kota Melaka mengalami kerosakan akibat serangan pasukan bersekutu Belanda dan Johor. Ia diperkukuhkan lagi oleh Belanda selepas ia menawan Melaka pada 1641. Selain itu, beberapa bastion juga ditambah termasuk Bastion Middleburg di kuala Sungai Melaka.

Namun hampir keseluruhan kota dimusnah oleh Inggeris pada 1806-07 dan yg terselamat hanyalah Pintu Gerbang Santiago. Jabatan Warisan Negara sedang mengkaji kota ini dan pembinaan semula sebahagiannya sedang dilakukan.

Tapak pembinaan Middleburg Bastion di tebing Sungai Melaka tidak jauh dari Tower Clock di hadapan bangunan Stadhuys. Penggunaan batu-batan laterit menjadikan kota ini begitu unik & bakal menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Bandaraya Bersejarah ini.

Tuesday, March 11, 2008

Rahsia yg akan dibongkar

Seorang Kapten Portugis, Duarte Coelho telah membina chapel "Our Lady of the Hill" pada 1521 (10 tahun selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis). Di sinilah juga St.Francis Xavier yg mati di San Chian, China dikebumikan di perkuburan terbuka (ia kini ditutup dgn jaring) dari 22 Mac hingga 11 Dis 1553 sebelum dipindahkan ke Goa, India.

Setelah Belanda mengalahkan Portugis pada 1641, mereka mengubah nama gereja ini menjadi "Gereja St.Paul". Bila Christ Church, gereja Belanda siap dibina, gereja ini dijadikan tempat persemadian golongan bangsawan (penanda kubur masih ada sehingga sekarang).

Foto bahagian dalaman gereja. Menurut sesetengah cerita, bumbung gereja telah dibuang oleh askar Belanda. Mereka membina laluan di sekeliling bahagian atasnya sebagai tempat untuk pengawal mengawasi kawasan perairan Kota Melaka. Ketika meninjau bangunan ini, Shali & saya mendapati ruangan gereja di sebelah kiri sebenarnya dua tingkat. Tingkat atas adalah tempat penyiksaan terhadap pesalah.

Kami percaya tingkat bawah telah ditimbus oleh Portugis kerana dikatakan bahawa di situlah letaknya penjara. Dakwaan ini diperkuatkan dengan adanya tingkap (yg boleh dilihat dari luar) dan bentuk arch yg terbenam di dalam tanah. Kami yakin perbuatan Portugis itu adalah untuk menutup laluan sulit atau terowong menuju ke bawah tapak Istana Sultan Melaka. Terdapat pula laluan ke arah laut untuk memudahkan orang2 penting Portugis melarikan diri bila pihak musuh menyerang. Tidak syak lagi mereka juga pernah menggunakan laluan ini untuk menyeludup harta rampasan perang.

Ingin tahu lebih lanjut perihal laluan rahsia ini? Bacalah di dalam novel kami kelak...


Wednesday, February 27, 2008

Foto 1906

Istana Sultan Idris (Perak) dibina pada 1892 dengan kos $55,000. Sebahagiannya diperolehi daripada Negeri2 Melayu Bersekutu (FMS) melalui Frank Swettenham (Residen Perak). Dekorasi dalaman adalah buatan Eropah dan permintaan untuk menambah bantuan telah dipertikaikan dengan hangatnya di London. Namun Gabenor Mitchell menegaskan bahawa istana Sultan seharusnya sehebat kediaman Residen. Sultan Idris mangkat pada 1916.

Kediaman Residen yg menghadap Sungai Perak. Terletak di Kuala Kangsar, Bandar DiRaja Perak. Kedudukan Kuala Kangsar sangat strategik di kawasan melengkung Sungai Perak. Pada 1879, catatan Isabella Bird perihal Kuala Kangsar: "I like Kwala Kangsa better than any place that I have been at in Asia, and am proportionately sorrier to leave it..." Dari situ kelihatan kawasan gunung-ganang yg amat indah. Di sebelah kanan foto, kelihatan 'lanca' iaitu kenaikan yg ditarik oleh manusia/lembu atau kuda.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez