Saturday, July 5, 2008

Jalan Penarikan


JEMPOL 4 Julai - Jalan Penarikan mungkin antara lokasi pelancongan bersejarah yang tidak terkenal jika hendak dibandingkan dengan mana-mana tempat sejarah yang lain di negara ini. Disebabkan kedudukannya jauh di pedalaman daerah ini, tidak ramai menyedari bahawa Jalan Penarikan merupakan laluan utama pedagang ketika zaman Kerajaan Langkasuka.

Kerajaan tersebut yang berkembang pada abad pertama masihi mempunyai kaitan rapat dengan Laluan Sutera yang merentasi pantai barat Semenanjung ke pantai timur satu ketika dahulu. Pengarah Muzium Negeri, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, Jalan Penarikan merupakan laluan darat tertua yang diketahui di Semenanjung dan sebahagiannya terletak di antara Sungai Jempol dan Sungai Serting.

Beliau menyifatkan kawasan yang dikenali sebagai Londar Siam ini merupakan khazanah sejarah dan warisan bangsa yang perlu dipelihara supaya ia tidak luput dek perkembangan zaman.
''Sejarah mengenai Jalan Penarikan ini tidak dapat diketahui secara tepat memandangkan tiada catatan khusus mengenainya.

''Bagaimanapun jalan ini mula digunakan pedagang dari kerajaan pantai timur Sumatera dan pantai barat Semenanjung untuk ke pantai timur negara ini. Ia juga lokasi terpenting sebagai jalan pergerakan ketenteraan dan pengembangan agama Buddha pada zaman kerajaan Langkasuka dan kerajaan Srivijaya pada abad keenam hingga ke-13 Masihi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan, pada abad ke-13 dan ke-14, pedagang yang mahu ke Jalan Penarikan perlu mudik ke Sungai Muar (jika dari pantai barat), kemudian Sungai Jempol hingga ke pangkalan di Kampung Bukit Laka, Bahau. Dari pangkalan berkenaan, perahu atau jong iaitu kapal besar akan ditarik melintasi darat ke pangkalan yang terletak di Sungai Serting.

''Dari situ, jong ini akan menghilir Sungai Serting untuk masuk ke Sungai Bera dan akhir sekali ke Sungai Pahang untuk sampai ke kuala iaitu di bandar Pekan, Pahang ketika ini," ujarnya.
Kawasan ini juga pernah dijadikan sebagai laluan pemerintah kerajaan Melaka terakhir Sultan Mahmud Shah untuk berundur ke Pahang setelah diserang Portugis.

Katanya, terdapat penemuan menakjubkan di kawasan itu apabila tapak surau dan bekas kubur lama ditemui di beberapa tempat sekali gus menjadi bukti kedatangan pedagang di sepanjang jalan tersebut. ''Kita juga menemui beberapa bukti kedatangan pedagang ke sini berdasarkan penemuan seperti tapak surau dan bekas makam yang batu nisannya mempunyai ciri dan pengaruh Sumatera di beberapa buah tempat di sekitar kawasan ini.

''Kita tidak menemui artifak namun beberapa batu yang dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengalas tiang pelantar surau, menyokong fakta yang tapak berkenaan merupakan bekas surau yang dibina sekitar tahun 1700 Masihi," ujarnya. Menurut Drs. Shamsuddin, Jalan Penarikan mula tidak dijalankan apabila penjajah Inggeris membina landasan kereta api menghubungkan Bahau dengan Kuala Lipis dan beberapa kawasan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez