Friday, May 22, 2009

Masjid Kapitan Keling

Masjid Kapitan Keling di Jalan Masjid Kapitan Kelang (dulu Pitt Street) adalah sempena 'jawatan' Caudeer Mohudeen, ketua komuniti (kapitan) Indian Muslim yang membinanya sekitar 1800. Ia pernah digunakan sebagai masjid negeri kerana ia masjid bersejarah yang paling besar di Georgetown.

Kapitan Keling membawa masuk pembina dan batu-batan untuk projek ini. Struktur asal adalah setingkat, berbentuk empat segi bujur dengan bahagian sekelilingnya mempunyai bangku panjang. Tapak seluas 18 ekar itu telah diberikan kepada komuniti India Muslim oleh Sir George Leith (Leftenan Gabenor Pulau Pinang) pada November 1801.

Namun bila Georgetown semakin besar, kerajaan membeli kawasan sekitar masjid untuk membina Balai Polis dan Pasar Campbell Street. Makam Kapitan (yang meninggal pada 1834) terletak di Kampung Kolam, tidak jauh dari masjid itu. Menjelang 1903, keluasan asal berkurangan menjadi 8 ekar sahaja.

Menjelang 1910, masjid tersebut diubahsuai mengikut stail British Mogul dengan penambahan menara Mughal dan kubah. Manakala sebuah madrasah selesai dibina pada 1916. Sekali lagi pada 1930, Masjid Kapitan Keling melalui pengubahsuaian yang kekal seperti sekarang. Kawasan masjid diluaskan, ketinggian ruang sembahyang utama ditingkatkan dan sistem pengudaraan disempurnakan.

Bahagian luar kekuningan sementara lantainya marmar putih. Arca di sepanjang lorong berbentuk tapak kuda. Fasad bangunan dan bahagian dalamnya dihiasi corak geometrik kerana unsur manusia atau binatang adalah ditegah dalam Islam.

Masjid ini diperelokkan lagi pada 2003, dengan peruntukan RM5 juta, kerana air meresap ke dinding dan sistem pengaliran yang tidak sesuai. Ketika ini, sebuah laluan beratap dibina ke kawasan wuduk jemaah wanita. Kaligrafi ditambah di kubah dan dinding bagi menggantikan motif bunga. Sebuah Pusat Informasi Islam juga dibina di situ.

Friday, January 9, 2009


PENJAJAH Inggeris cuba mengaitkan Ngah Ibrahim Long Jaafar (1836-1895) dengan kematian JWW Birch tetapi tiada bukti kukuh menyebabkan mereka menggunakan muslihat dan menahan pejuang kemerdekaan terawal, intelektual, pemikir dan berwawasan jauh dalam membangunkan ekonomi bangsa Melayu itu di Singapura.

Ngah Ibrahim akhirnya dijatuhkan hukuman dibuang ke Pulau Seychelles dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia pada 4 Februari 1895. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura sebelum dibawa pulang ke halamannya pada 2006.

Perbincangan mengenai Ngah Ibrahim sebagai seorang daripada pahlawan serta jutawan Melayu terkenal pada abad ke-19 di Tanah Melayu tidak perlu dipertikaikan.

Dia orang yang bertanggungjawab membina Kota Ngah Ibrahim, yang kini berusia 150 tahun yang dijadikan pusat pentadbiran bersilih ganti diletakkan di bawah pemerintahan British, Jepun hinggalah akhirnya diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1985 untuk dijadikan Kompleks Sejarah Matang.

Kawasan kota itu dibina menggunakan batu bata yang dicampur simen lama dikenali Lime Motar dan mempunyai menara kawalan utara dan selatan, pelabuhan Melawati, kubur, tugu peringatan kemasukan tentera Jepun.

Bahkan, tembok yang runtuh akibat rempuhan pesawat Jepun yang terhempas di situ ketika Perang Dunia Kedua dikekalkan sebagai bahan sejarah. Pada tembok itu terdapat satu lubang kecil pada jarak setiap lima kaki dipercayai bagi tujuan pertahanan.

Ini kerana, Ngah Ibrahim pernah melantik Kapten Speedy mengetuai pasukan polis mengawal kubu berkenaan terdiri daripada orang Melayu dan tentera Gurkha.

Di satu sudut berhampiran menara selatan, terdapat satu perigi lama yang digali semula oleh arkeologi dan hasilnya membuktikan seni bina yang menarik. Susunan bata diletak dengan tiga corak iaitu melintang, menegak dan bentuk V atau tulang belut.

Airnya masih banyak dan jernih, tetapi pengunjung tidak dibenarkan memijak batu bata di situ bagi mengelakkan runtuhan.

Ahmad Sazali berkata, kubu itu pada asalnya terletak berhampiran sungai tetapi kini sungai itu menjadi sempit dan langsung tidak digunakan.

“Ngah Ibrahim mempunyai empat kapal iaitu dua kapal layar dinamakan Bahtera Bayu dan Indera Bayu yang prestasinya lebih hebat daripada Kapal Pluto yang menjadi lokasi Perjanjian Pangkor pada 1874 serta serta dua kapal stim,” katanya.

Di dalam kompleks dua tingkat itu juga mengandungi pelbagai artifak sejarah termasuk tinggalan aktiviti perlombongan, sistem pemerintahan, mahkamah, senjata dan agak menarik ialah replika Si Larut, iaitu gajah milik Long Jaafar yang dikatakan menemui bijih timah ketika berkubang di Larut.

Kota Ngah Ibrahim jadi kompleks sejarah

KOMPLEKS sejarah Matang, Perak yang terletak di Matang (dulu dikenali sebagai Permatang) di Mukim Bukit Gantang, Perak dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Beliau adalah anak kepada Che Long Jaafar, iaitu orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840.

Kompleks ini adalah sebuah bangunan yang dijadikan rumah, kota dan pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan daripada batu bata saja.

Selepas Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, kota ini diletakkan di bawah pengawasan Inggeris sehinggalah ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913 hingga 1922.

Selepas itu, ia dijadikan sebagai Sekolah Melayu pada 1923 hingga 1941. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 hingga 1945), ia berperanan sebagai markas tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1946, rumah itu dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946 hingga 1983).

Kota ini dijadikan Kompleks Sejarah Matang hingga sekarang mulai 1985 selepas ia diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Mohd. Azis Ngah (Berita Harian)

Monday, December 15, 2008

Keunikan: Warisan Alam & Insan

Menurut Ana Faqir, beliau mengambil masa 13 tahun untuk membuat kajian dan menulis buku Menyingkap Misteri - PULAU BESAR. Pulau Besar terletak kira-kira 5 km dari persisiran pantai Kampung Umbai, Melaka. Ia dikunjungi ramai kerana daya tarikan utama ialah unsur-unsur ghaib berbau kekeramatan yang berkait erat dengan kewalian serta kehidupan makhluk halus.

Sebuah pemeran menyingkap Sejarah & Misteri Pulau Besar - Melaka sedang diadakan di Bastion House (sebelah Kota A'Famosa, Bandar Hilir, Jalan Kota).

Antara aktiviti yang dijalankan:
* Perasmian Pameran & Pelancaran Buku oleh Ustaz Ana Fakir
* Pengkisahan Pulau Besar - Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail (R.A.)
* Pertandingan Sayembara Puisi Sufi
* Khidmat Perundingan Mengenal Diri
* Menjejaki Sejarah dan Misteri Pulau Besar (tiga lawatan berpandu ke Batu Belah, Tasik Biawak, Batu Tengkorak, Perigi, Kaki Pulau, Tapak Kaki Sultan Al-Arifin, Makam Nisan Satu, Kulliyah dan Qiamullail & Meditasi di Gua Yunus dll)


Kompleks Sejarah Kempas

Batu Megalit atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘batu hidup’ (living stone). Dipercayai, batu megalit telah wujud sejak abad ke 2 dan ke 3. Lihat bentuknya yang 'sama' iaitu tegak dan menirus ke atas.

Ia sebahagian daya tarikan di Kompleks Sejarah Kempas yang terletak tidak jauh dari Sg.Kempas, sebuah pelabuhan zaman dulu di mana ramai pembesar dan orang kenamaan pernah menggunakannya sebagai laluan ke lautan atau tempat-tempat sepanjang sungai. Pengkalan Kempas terletak di antara Port Dickson dan Melaka.

Kompleks ini menempatkan Makam Syeikh Ahmad Majnun dan Batu Megalit, Pengkalan Kempas. Syeikh Ahmad Majnun merupakan seorang pendakwah menyebarkan syiar Islam di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Semasa dalam perjalanan, beliau meninggal dunia dan dimakamkan di sini.

Makam Syeikh Ahmad Majnun dianggap salah sebuah makam Islam yang tertua di Malaysia. Ini berdasarkan inskripsi batu bersurat yang terukir tahun 1467-1468 dipercayai tarikh Syeikh Ahmad Majnun meninggal dunia. Beliau dianggap oleh pengikutnya sebagai seorang Wali.

Menurut penjaga tempat itu, beberapa orang yang berkunjung ke situ mengatakan bahawa mereka adalah keturunan daripada Syeikh Ahmad Majnun. terdapat bunga rampai yang masih hijau dengan bunga-bungaan di atas makam. Tempat ini sangat sunyi dan tenteram kerana terletak betul-betul di dalam kawasan perkampungan.


 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez