Tuesday, July 14, 2009

Masjid Tengkera





























Sejarah dan latarbelakang :
Masjid Tengkera adalah masjid yang kedua tertua di negeri Melaka. Ia di bina pada tahun 1728 (M) bersamaan 1141 (H). Dari sudut seni bina ia menggabungkan senibina Cina dan Islam dan mempunyai persamaan dengan masjid Kg. Laut di Kelantan. Di samping itu, ia mempunyai bentuk yang sama dengan masjid Demak di tanah Jawa Indonesia. Keunikan masjid ini mempunyai senibina yang sangat halus disegenap sudut, baik di pintu masuk tingkap, dinding, tangga, mimbar, menara dan pintu gerbangnya. Dihiasi dengan batu mar-mar Cina yang indah. Berhampiran dengan masjid terdapat makam Sultan Husin Shah, Sultan Johor yang telah menyerahkan Singapura sebagai jajahan takluk Johor kepada Syarikat Hindia Timur - Inggeris pada tahun 1819. Menjadi tumpuan para pelancong dan di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negeri Melaka.

Saturday, July 4, 2009

Makam Sultan Iskandar Zulkarnain

Makam Sultan Iskandar Zulkarnain (Marhum Kaharullah) ini terletak di Pulau Indera Sakti, iaitu sebuah kampung tinggal yang terletak di Kuala Sungai Kinta (berkuala ke Sungai Perak). Pelawat sukar ke situ kerana tidak ada jalan yang boleh dilalui oleh kenderaan. Walau bagaimana pun, boleh menyewa bot yang terdapat di pengkalan bandar Teluk Intan. Jauhnya makam sultan ini kira-kira 9 km ke utara bandar tersebut.

Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Perak ke 15 adalah sultan yang paling terkenal sekali dalam pemerintahan beraja di negeri Perak. Baginda ini telah membangunkan negeri Perak menjadi sebuah negeri yang makmur dan aman damai. Pada masa pemerintahan, baginda telah memperkenalkan sebuah undang-undang yang dipanggil Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan.

Undang-undang tersebut telah dijalankan sepenuhnya dalam hal ehwal pentadbiran negeri Perak. Gelaran orang-orang besar juga telah diperkembangkan. Beliau menambahkan lagi gelaran orang besar-besar. Gelaran dan pangkat Bendahara yang dahulunya dipegang oleh orang-orang keturunan Megat yang bermula daripada Megat Terawis telah dihapuskan dan pangkat Bendahara diberi pula kepada keturunan Raja.

Pada masa pemerintahan baginda, orang-orang Belanda telah memonopoli pembelian bijih timah yang dikeluarkan dari negeri Perak. Begitu juga dengan orang-orang Cina dan India telah ramai membuka kedai perniagaan di bandar yang dinamakan "bandar makmur" yang terletak di Pulau Indera Sakti.

Sultan Iskandar Zulkarnain telah mangkat di Pulau Indera Sakti pada 1770 iaitu setelah memerintah negeri Perak selama empatbelas tahun (1756-1770). Baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Syah (1770-1778).

Makam Sultan Muzaffar Syah I

Makam Sultan Muzaffar Syah I (Marhum Tanah Abang) terletak di Teluk Bakong iaitu kira-kira 11 km ke selatan pekan Bota Kanan. Sultan Muzaffar Syah I adalah putera kedua kepada Sultan Mahmud Syah Melaka terakhir yang telah berundur ke Kampar (Sumatera) setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis pada 1511.

Baginda diputerakan di Melaka kira-kira dalam tahun 1505. Dalam tahun 1528, baginda telah ditabalkan oleh orang-orang besar Perak sebagai Sultan Perak yang pertama, di Tanah Abang (Teluk Bakong sekarang) dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzaffar Syah.

Waktu pemerintahan baginda, seorang kerabat Diraja Pagar Ruyong yang bernama Megat Terawis Ibni Daulat Pagar Ruyong telah dilantik oleh baginda menjadi Bendahara menggantikan Tun Mahmud, Bendahara Perak yang pertama dan bergelar Bendahara Paduka Raja. Dari masa itulah pangkat Bendahara disandang oleh keturunan Megat. Sultan Muzaffar Syah I mangkat pada 1549.

Marilah kita sama-sama sedekahkan AlFatihah kepada AlMarhum baginda.

Muzium Perlombongan












Muzium Sungai Lembing telah dibina oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti dengan objektif mengumpulkan maklumat dan mempamerkan bukti sejarah perlombongan timah yang terkenal satu ketika dulu. Masih terdapat peninggalan perkakas dan peralatan yang digunakan serta replika bahagian syaf lombong bawah tanah.

Bandar Sungai Lembing terletak 42 km dari Kuantan. Pelawat dapat melihat kawasan sekitar lombong biji timah yang diiktirafkan sebagai lombong terbesar di dunia. Dari segi sejarah, Sungai Lembing merupakan bandar yang kaya terutama daripada hasil bijih timah. Ia mendapat gelaran ‘East El-Dorado’ di Tanah Melayu dan terletak di dalam kawasan penempatan Inggeris. Sejarah perlombongan dipercayai bermula sejak zaman penjajahan dan dijalankan oleh syarikat British, Pahang Consolidated Company Ltd. Ia bermula pada 1906 dan berakhir sekitar 1986.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez