Wednesday, March 19, 2008

Sepetang di Selat Melaka

Penghujung jeti di Umbai. Ukiran tepian jeti yg halus berseni seolah-olah memberi implikasi senibina sebuah istana zaman Kesultanan Melayu Melaka yg begitu indah, amat mempesonakan, memercikkan keemasan sang mentari yg kian mengundurkan diri di ufuk barat. Saban petang mungkin Baginda Sultan menikmati keindahan maya dari puncak istana sambil memeterai janji suci untuk sehidup semati bersama Permaisuri yg dikasihi...walaupun mungkin tumpuan Baginda terpaksa dibahagi sama-rata antara pak menteri dan negeri.

Mungkin inilah jua pemandangan mentari terbenam yg dilihat sama oleh Alfonso de Albuquerque tatkala berlabuh di luar Melaka pada 1511. Meskipun 497 tahun telah berlalu, langit Melaka bermandi cahaya senja yg sama. Air lautnya berkejaran lemah, berlengguk dlm deburan santai, bernada sayu ibarat tangisan ribuan pahlawan Melayu yg tenggelam ke dasarnya demi mempertahankan tanah air tercinta. Maka kita yg memerhati pun kian karam dlm keindahan ciptaan Ilahi...

Monday, March 17, 2008

Pembinaan Middleburg Bastion

Bulatan merah adalah kedudukan Middleburg Bastion yg terletak berdekatan kuala Sungai Melaka.

Pada awalnya, tembok Kota Melaka dibina oleh kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mengelilingi Istana Raja. Ia dibina daripada tanah dan diperkuat dengan batang kelapa, batang nibung dan pagar kayu. Manakala kota batu didirikan oleh Portugis (1512) mengelilingi Bukit St.Paul dan siap pada 1548. Ia diperkukuhkan selepas serangan Belanda pada 1605-06.

Kota Melaka mengalami kerosakan akibat serangan pasukan bersekutu Belanda dan Johor. Ia diperkukuhkan lagi oleh Belanda selepas ia menawan Melaka pada 1641. Selain itu, beberapa bastion juga ditambah termasuk Bastion Middleburg di kuala Sungai Melaka.

Namun hampir keseluruhan kota dimusnah oleh Inggeris pada 1806-07 dan yg terselamat hanyalah Pintu Gerbang Santiago. Jabatan Warisan Negara sedang mengkaji kota ini dan pembinaan semula sebahagiannya sedang dilakukan.

Tapak pembinaan Middleburg Bastion di tebing Sungai Melaka tidak jauh dari Tower Clock di hadapan bangunan Stadhuys. Penggunaan batu-batan laterit menjadikan kota ini begitu unik & bakal menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Bandaraya Bersejarah ini.

Tuesday, March 11, 2008

Rahsia yg akan dibongkar

Seorang Kapten Portugis, Duarte Coelho telah membina chapel "Our Lady of the Hill" pada 1521 (10 tahun selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis). Di sinilah juga St.Francis Xavier yg mati di San Chian, China dikebumikan di perkuburan terbuka (ia kini ditutup dgn jaring) dari 22 Mac hingga 11 Dis 1553 sebelum dipindahkan ke Goa, India.

Setelah Belanda mengalahkan Portugis pada 1641, mereka mengubah nama gereja ini menjadi "Gereja St.Paul". Bila Christ Church, gereja Belanda siap dibina, gereja ini dijadikan tempat persemadian golongan bangsawan (penanda kubur masih ada sehingga sekarang).

Foto bahagian dalaman gereja. Menurut sesetengah cerita, bumbung gereja telah dibuang oleh askar Belanda. Mereka membina laluan di sekeliling bahagian atasnya sebagai tempat untuk pengawal mengawasi kawasan perairan Kota Melaka. Ketika meninjau bangunan ini, Shali & saya mendapati ruangan gereja di sebelah kiri sebenarnya dua tingkat. Tingkat atas adalah tempat penyiksaan terhadap pesalah.

Kami percaya tingkat bawah telah ditimbus oleh Portugis kerana dikatakan bahawa di situlah letaknya penjara. Dakwaan ini diperkuatkan dengan adanya tingkap (yg boleh dilihat dari luar) dan bentuk arch yg terbenam di dalam tanah. Kami yakin perbuatan Portugis itu adalah untuk menutup laluan sulit atau terowong menuju ke bawah tapak Istana Sultan Melaka. Terdapat pula laluan ke arah laut untuk memudahkan orang2 penting Portugis melarikan diri bila pihak musuh menyerang. Tidak syak lagi mereka juga pernah menggunakan laluan ini untuk menyeludup harta rampasan perang.

Ingin tahu lebih lanjut perihal laluan rahsia ini? Bacalah di dalam novel kami kelak...


 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez